Kala Ramadan Kutemu Karim – Muzammil Rahim [Certot]

11/08/2012

[Karya ini adalah penyertaan Sayembara Certot Humor Idul Fitri anjuran TulisNovel.com. Apabila tuan / puan berasa terhibur selepas membacanya, mohon berikan undi dengan klik butang Like di bawah. 30% markah adalah daripada penilaian tuan / puan, dan selebihnya daripada penilaian para juri profesional. Terima kasih!]

=====

Aku adalah seorang graduan guru pelatih yang baru ditempatkan di sebuah sekolah di pedalaman Pahang. Kalau mahu diceritakan keadaan sekolahku itu, bagaikan bicaraku tersekat-sekat pada kerongkong yang tidak bisa diluahkan. Bangunan yang kecil, kawasan separa luas, sumber air pula begitu susah dibekalkan. Pandai-pandailah kami penduduk kampung di situ menyimpan air sebagai bekalan.

              Ironinya, aku tidak kisah ditempatkan mengajar di pedalaman kerana bagiku, itu sememangnya tugas yang bergalas di pundak sebagai guru untuk mendidik anak-anak bangsa yang begitu dahagakan ilmu. Tambahan, ini adalah kali pertama pengalaman aku mengajar di tempat orang pada bulan Ramadan.

              Hari pertama mengajar di sekolah rendah sebagai guru bahasa Melayu amat menjentik kesabaranku apabila melihat murid-murid ketika perhimpunan pagi yang tidak kemas pakaiannya, comot sekali dan mulut tidak berhenti daripada berkata-kata. Pot pet pot pet pot pet, ada sahaja perkara yang dibualkan. Aku mula gontai menjejak ke arah kelas 2 Indah, kelas yang terletak di hujung pojok bangunan sekolah.

              Jangkaan awalku ternyata salah kerana murid darjah dua terdapat sepuluh orang sahaja. Mereka yang bercempera di dalam kelas cepat-cepat kembali ke tempat asal lalu terus memberi salam. Aku gesit menjawab salam dan mengukirkan sebuah senyuman kepada mereka. Sementelah mereka melabuhkan punggung ke kerusi, aku memperkenalkan diri sebagai guru baharu di sekolah itu. Dan mereka ada yang mendengar, ada pula yang langsung bergebang dengan rakan sebelah.

              Kali ini sememangnya meletuskan api kemarahan yang lama bergelodak sejak bertapak di sekolah tadi. Kelas pertamaku pada hari pertama membuahkan peristiwa yang tidak manis bagi dikenang kerana mereka semua sudah dimarahi lantaran kurang beradab dengan guru. Bukan sikapku begitu yang gemar berleter atau memarahi sesuka hati namun sebagai pendidikan awal, kukira perlu juga.

              Matahari kelihatan culas memancarkan sinar menerangi alam. Subuh yang sedikit bukat sudah berkabus dan memberi petanda bagi bergilir tugas dengan duha. Begitu juga aku. Hari ini mengajar kelas 2 Indah. Semakin berat bagi memulakan langkah.

              “Murid-murid, kita sudah berada di bulan Ramadan, wajib berpuasa bagi umat islam sebagai rukun islam yang ketiga.” Aku menyeluruhi pandanganku seputar kelas. Cukup sepuluh orang. Malangnya ada yang berbasa-basi.

              “Cikgu ada hadiah istimewa untuk sesiapa yang berpuasa penuh!” Aku separuh menjerit. Mereka terjegil matanya. Barangkali begitu teruja dengan penawaranku. Justeru, aku terus lanjutkan pembicaraanku.

              “Jadi, tanamkan azam awak semua. Siapa tidak berpuasa tanpa alasan, ada dendanya.” Sengaja kata-kataku bernada gertak. Aku tersenyum puas di hadapan mereka.

              Mereka? Khali.

              Beberapa ketika, suasana riuh semula. Ada yang mencuit-cuit lengan kawan sebelah dan ada yang berkerut seribu mukanya.

              “Hadiahnya apa, cikgu?” Salah seorang daripada mereka mengajukan soalan. Kawan-kawan tunak perhatikan dia.

              “Hadiahnya?” Aku sengaja mengulang. “Rahsia, tiba masanya akan diberikan juga.” Aku meninggalkan seribu satu jawapan buat anak-anak muridku.

              Loceng berdering kuat menandakan masa kedua untuk sesi pagi sudah tamat. Aku meninggalkan kelas itu dengan harapan akan wujud perubahan terhadap anak didikku. Mungkin dengan berpuasa mampu mengubah daripada sikap ‘hodoh’ kepada ‘cantik’. Siapa tahu?

              Pagi Isnin memang gempar. Gempar tanpa disangka. Kecoh satu kelas apabila ada anak muridku berteriak.

              ‘Karim makan. Karim tidak berpuasa!”

              “Betul, Karim makan ayam goreng!”

              Kejutan menjalar secara langsung. Berang mula menyelorohi emosi. Bukankah anak-anak muridku sudah berjanji?

              “Sarah, Karim yang mana? Di mana dia?” Aku bertanya pantas.

              “Dia lari apabila kami sergah dia.” Sarah menunjukkan tujunya Karim ke kelas sebelah dengan takut-takut.

              “Berani dia! Sudahlah tidak berpuasa, makan di hadapan orang ramai pula!” Aku menyingsing lengan baju sedikit. Panas. Aku meluru ke luar kelas lalu terus ke kelas sebelah. Guru tiada di kelas itu. Peluang ini aku ambil bagi mencari Karim, gerangan budak yang dimaksudkan.

              Murid-murid kelas 3 Cantik bising. Mereka bagaikan cacing kepanasan, tidak senang duduk.

              “Mana Karim? Mana?” Aku melontarkan suara dengan nada jaki. Urat kemarahan jelas berjaluran pada tangan. Murid-murid kelas itu tercengang dan kaku pergerakannya.

              “Siapa Karim, cikgu?” Ada suara salah seorang murid pecah dalam perlakuan mereka.

              “Sarah cakap Karim yang tidak berpuasa, makan lalu lari ke kelas ini.” Aku menjelaskan perkara sebenar dan mengharap mereka memberitahuku di mana Karim berada.

              “Tiada antara kami bernama Karim, cikgu, dan tiada sesiapa yang datang ke mari kecuali cikgu.” Salah seorang daripada mereka memberitahu. Begitu sungguh-sungguh.

              Aku musykil dan bertambah aneh. Siapa Karim? Bulan puasa sebegini benar-benar menguji kesabaranku. Barangkali Sarah menipu aku. Aku kembali ke kelas dan mula mendapatkan Sarah.

              Aku melangkah masuk ke dalam kelas. “Sarah, mana Karim? Kelas sebelah tiada yang bernama Karim.” Aku menyoal.

              “Memang betul dia ke kelas sebelah tadi.” Sarah membalas pertanyaanku dan tulus melihat ekspresi wajahnya. Dia lantas ke kelas sebelah dan bertanya kepada kawannya. “Mia, ada nampak kucing berwarna putih masuk ke kelas ini?” Dia bertanya kepada salah seorang kawannya.

              “Tidak, mengapa?” Mia balas dengan nada sederhana dan selamba mukanya.

              “Cikgu Zam cari kucing itu.” Sarah yang berada di hadapan pintu kelas, berkerut-kerut mukanya menjelaskan kepada Mia.

              Aku terdengar akan kata Sarah. Aku pelik bertambah aneh. “Cikgu bukan cari kucing. Cikgu cari Karim yang kamu beritahu tidak berpuasa sebentar tadi.”

              “Cikgu, Karim itu kucinglah, cikgu.”

              Aku menepuk dahi dengan kuat. ‘Penipuan’ anak muridku sendiri adalah hadiah untukku menjelang Aidilfitri ini. Sesungguhnya peristiwa yang berlaku ini satu pengajaran buat diriku sendiri. Manis dalam pahit, mereka memhon kemaafan atas kesalahan tidak berterus terang dan Aidilfitri kali ini bermakna buat aku permulaan sebagai guru.

—–

Muzammil Rahim
Ramadan 1433H 

email

Baca juga karya ini:

Share

Tags: , , , , , , , ,

2 Responses to Kala Ramadan Kutemu Karim – Muzammil Rahim [Certot]

  1. jahir
    12/08/2012 at 21:02

    tahniah~ cerita nie menarik sangat.. cute gitu…~ :)

  2. wafa awla
    16/08/2012 at 02:20

    haha, sangat lawak. Suka seni bahasanya. Moga sahaja karya ini menang. Tahniah kepada penulis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


− 2 = 4

Current month ye@r day *