Di Sebalik Mendungnya Awan- Suri Mawarne [Certot]

11/07/2012

Petang itu damai dengan angin laut bertiup sepoi-sepoi menampar pipi. Terik suria tidak terasa hangat membakar dek awanan yang memenuhi dada langit. Namun begitu, keindahan alam ciptaan Tuhan itu tidak lagi dapat membendung gelora di wajah tiga orang lelaki. Zulqarnain menghulurkan tepak rokok kepada Adika dan Sulaiman, tetapi kedua-duanya menolak.

“Usah bimbangkan harganya. Tembakau dan cengkih aku tanam sendiri.”

Zulqarnain mengeluh panjang. Kopi panas yang dihidangkan isterinya, dihirup perlahan. Matanya tertutup rapat seakan menikmati rasa kopi pahit itu.

Seketika kemudian, Zulqarnain membuka mata. Wajahnya tampak sedih. Rokok gulung yang masih berasap dicampak ke atas tanah, di bawah beranda rumah.

“Tembakau dan cengkih yang aku tanam suka-suka itu rupanya menjadi talian hayat aku. Bagaimana dengan kalian? Di mana Setia Alam?”

Adika dan Sulaiman saling berpandangan sebelum Adika membalas, “Setia Alam sedang sakit. Dia terjatuh semasa memanjat pohon kelapa.”

Beristighfar panjang Zulqarnain apabila mendengar perkhabaran itu. “Bagaimana dengan keadaannya?”

Adika tersenyum. Begitu juga Sulaiman.

Ujar Adika, “Usah bimbangkan Setia Alam. Pohon yang dipanjatnya hanyalah kelapa mawar yang tidaklah tinggi mana. Dirinya baik-baik sahaja. Hanya kaki yang tergeliat.”

Zulqarnain mengeluh lagi.

“Orang berdagang sepertinya, manalah tahu membuat kerja-kerja kasar. Bagaimana dengan kalian? Apakah yang sedang kau lakukan, Adika?”

“Aku sedang belajar, bang. Setiap hari aku membaca hukum kanun laut serta hal ehwal perdagangan.”

“Adakah kau ingin menjadi penguasa, berkerja di bawah tuan Laksamana? Engkau enggan berdagang lagi?”

Soalan Zulqarnain bernada kasar itu membuatkan Adika menundukkan kepala.

“Aku suka berdagang, bang. Tetapi, sukar hidup selama enam purnama tanpa sebarang wang pun yang masuk ke kantung.  Aku terpaksa mengadu nasib dengan Paman. Paman memaksa aku menyertai peperiksaan umum kerajaan. Katanya bekerja dengan kerajaan, terjamin kehidupan.”

Pantas Zulqarnain membidas, “Bekerja dengan kerajaan terjamin, tetapi tidak sebebas menjadi pedagang. Namun begitu, aku tidak salahkan kau. Enam purnama kita hidup terumbang-ambing ibarat sampan kecil dilanda badai ribut di tengah samudera. Hidup perlu diteruskan jua. Mulut mesti disuap, perut perlu diisi. Mujur sahaja belum ada anak-anak kecil yang perlu disara.”

Sambungnya lagi, “Bagaimana dengan kau pula, Sulaiman? Tidakkah kau pergi mencari pekerjaan juga?”

Sulaiman mengangguk perlahan.

“Saya mengikut nelayan ke laut, tetapi seketika sahaja. Beberapa minggu saya jatuh sakit dan terlantar di rumah.”

Zulqarnain mendengus.

“Orang bertubuh lemah seperti kau sememangnya tidak boleh menjadi buruh. Kekallah kau bekerja sebagai penulis kira-kira. Berbalik kepada tujuan aku memanggil kalian ke sini. Semalam, aku menerima surat daripada Pak Long Omar. Dia memohon maaf kerana tidak berupaya membayar wang upah kita semua selama enam purnama ini. Tambahan pula, sebagaimana yang kalian maklum, banyak perkara malang menimpa. Barang dagangan kita dirampas lanun Bugis. Sesetengah penguasa pelabuhan meminta habuan yang sangat tinggi bagi membolehkan kita turun berdagang. Pak Long Omar bertegas tidak mengikut kehendak mereka. Akibatnya, hanya beberapa buah tempat yang kapal kita dibenarkan berlabuh.”

Bicara Zulqarnain berhenti seketika. Pandangannya dilempar jauh, lalu menyambung, “Kemudian, disebabkan Pak Long Omar berhati baik, ramai pula mengambil kesempatan enggan membayar hutang. Perkara malang yang bertindan-tindan ini menyebabkan kita memohon jasa baik penguasa supaya menangguhkan pembayaran cukai pelabuhan. Wang yang ada perlu dijadikan modal pusingan dan upah pekerja perlu didahulukan. Malangnya, Si Putam yang marah kerana upahnya tertangguh, membuat laporan ke pejabat Laksamana. Meskipun Pak Long Omar berjaya meraih pembayaran hutang daripada kedai-kedai, wang itu terpaksa didahulukan bagi membayar upah Si Putam, cukai pelabuhan, dan juga denda tertangguh.”

Cerita panjang Zulqarnain itu membuatkan Adika dan Sulaiman pula mengeluh.

“Aduhai, Si Putam. Aku sangkakan dikau sahabat sejati yang sanggup bersusah bersama.” Adika menyambung kata-katanya dengan satu keluhan yang panjang.

Kemudian pandangan Adika beralih kembali kepada Zulqarnain. Soalnya, “Adakah terdapat khabar lain daripada Pak Long Omar?”

Air muka Zulqarnain bertukar gembira apabila dia menganggukkan kepala, menjawab soalan Adika, “Syukur kepada Tuhan kerana masih membukakan pintu rezeki-Nya kepada kita. Beberapa buah kedai berjanji membayar hutang mereka berdikit-dikit. Meskipun begitu, agak sukar untuk kita berdagang kembali. Tambahan pula serangan lanun sudah menyebabkan kerosakan teruk kepada kapal kita. Orang yang bekerja jua hanya tinggal kita bertiga dan Setia Alam.”

Zulqarnain berhenti menggaru dagu. Dahinya berkerut seakan berfikir sesuatu.

“Tidak… tidak…,” dia menggelengkan kepala pula. Senyumannya melebar. “Maaf, aku tersilap mengira orang. Bukan kita berempat sahaja, tetapi sahabat-sahabat lama Pak Long Omar juga datang menghulurkan bantuan.”

Adika dan Sulaiman bertanya serentak, “Siapakah sudi membantu kita yang dalam kesusahan ini?”

“Marwan dan Abdul Rahim. Kedua-duanya mempunyai ilmu persilatan tinggi. Malahan pernah juga mereka berlatih menggunakan bedil, istinggar, pemuras, dan terakol. Semua senjata ini dapat membantu kita berhadapan dengan lanun Bugis!”

Kedua-dua Adika dan Sulaiman mengangguk.

“Kami kenal mereka berdua. Baguslah sekiranya mereka menyertai kita. Namun, bagaimana hendak kembali berdagang? Kapal kita sudah rosak binasa.”

“Bukankah aku katakan, Tuhan itu maha penyayang? Dia tidak akan membiarkan hamba-Nya begitu sahaja. Meskipun hakikatnya kelihatan sukar bangkit kembali, Allah datangkan bantuan tanpa disangka.”

“Siapakah lagi yang sudi membantu kita?” soal Sulaiman.

Jawab Zulqarnain, “Kiai Solehuddin dari Tanjung Keling. Rupanya kisah kejujuran dan kecekapan Pak Long Omar dalam menguruskan hal-ehwal perdagangan telah sampai ke telinganya. Jadi, Kiai Solehuddin mahu Pak Long Omar membantu menguruskan kapal perdagangannya ke Mekah!”

“Mekah?” Adika dan Sulaiman hampir terjerit. “Mekah al-Mukarramah? Bumi tempat diutuskan nabi kita, Nabi Muhammad? Tanah di mana Quran, kitab suci kita diturunkan? Tempat kita menunaikan ibadah haji? Adakah kami tersalah dengar?” Ada titis jernih pada hujung kelopak mata keduanya.

Zulqarnain mengangguk. Matanya berkaca-kaca.

“Kalian tidak tersalah dengar. Jadi, Pak Long Omar meminta aku menyampaikan pesan. Adakah kalian masih sudi bekerja dengannya lagi? Bekerja menguruskan perdagangan ke Mekah?”

“Kami sudi! Syukur, ya Tuhan!” Kedua-dua mereka pantas menunaikan sujud syukur.

Zulqarnain mengurut-urut dada. Dia mengerling ke arah pintu rumah. Kelibat isterinya kelihatan, mencuri dengar perbualan mereka. Wanita itu saling berbalas senyum dengan suaminya. Zulqarnain berpaling semula ke arah Adika dan Sulaiman yang sudah bangun dari sujud mereka.

“Petang ini aku akan bertemu dengan Pak Long Omar dan memaklumkan jawapan kalian. Esok ataupun lusa, kita sudah boleh memulakan semua kerja.”

Mata Adika memerah.

“Abang, berjanjilah abang tidak bergurau dengan kami. Adakah kita benar-benar akan ke Mekah?”

“Ya, kita akan ke Mekah. Bersedialah kalian, kerana perjalanannya lebih jauh dan cabaran yang akan dihadapi bukan alang-alang. Persiapkan fizikal dan rohani kalian. Pulang ke rumah, berehat secukupnya. Tunaikan solat hajat, mohon dipermudahkan segala urusan. Sampai waktunya, aku akan memanggil kalian lagi.”

Zulqarnain kembali menggulung rokok.

“Harapnya kita semua akan diberikan keizinan untuk sampai ke Mekah dengan selamat!”

Ujar Adika, “Insya-Allah! Kita akan sampai ke Mekah!”

Ketiga-tiga orang itu bertakbir dan bertahmid tanda kesyukuran. Di langit, perlahan-lahan awan berarak membebaskan mentari memancarkan sinar.

email

Baca juga karya ini:

Share

Tags: , , , , , , , ,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


+ 1 = 7

Current month ye@r day *